Jumaat, 20 Mac 2009

Durian Runtuh !!!!!!

RM15 juta naik taraf jalan

LUBOK ANTU 19 Mac - Sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan kerajaan bagi kerja-kerja menaik taraf dan membina beberapa batang jalan raya bagi keselesaan rakyat di Lubok Antu.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk menaik taraf jalan di kawasan Skim Penempatan Semula Fasa II Batang Ai yang sedang giat dilaksanakan.
Menurutnya, sejumlah RM4 juta diperuntukkan bagi pembinaan jalan raya yang bakal menghubungkan Pekan Lubok Antu hingga ke kawasan Nanga Bulo manakala RM1 juta lagi untuk pembinaan jalan raya dari kawasan pekan hingga kawasan Wong Pandak.
''Manakala baki RM5 juta lagi akan digunakan bagi membina jalan raya yang menghubungkan kawasan Nanga Kesit, Batang Lemanak, Spaya (kawasan Engkari) dan Bilararap (kawasan Ulu Lemanak)," katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian bantuan wang ehsan kepada pemilik enjin sangkut di Stadium Mini, Kompleks Sukan Lubok Antu di sini.
Turut hadir ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr. James Jemut Masing, Setiausaha Agung Barisan Nasional Sarawak, Dr. Stephen Rundi Utom, calon PRS pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, Malcom Mussen Lamoh dan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyallau Badak.
Jabu berkata, beliau berharap wakil rakyat Barisan Nasional di kawasan Lubok Antu dapat meneruskan pelaksanaan pelan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan di kawasan terbabit secara berterusan.
Katanya, kerajaan BN mahu penduduk di kawasan Lubok Antu terus menikmati pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi wakil rakyat mereka.

Sumber dari Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan